Cari

BOKASHI FARMER

Manuskrip Kejuruteraan Paleobiologi

Label

bakteria baik inokulan

BAKTERIA BERGUNA

Bakteria berguna yang dipakai dalam penghasilan kompos iaitu EM atau bakteria setempat IMO mengandungi beberapa siri bakteria. Bakteria-bakteria ini wujud bersama-sama, setiap satu mempunyai fungsi tersendiri dan bergantung antara satu sama lain. Dalam pos-pos yang lepas, saya banyak membincangkan tentang faedah EM. Kali ini  kita cuba mengenali apakah EM dan komponen-komponennya.

EM boleh dikelaskan kepada 4 kategori yang besar iaitu kumpulan bakteria fotosintetik, bakteria asid laktik, actinomycetes dan yis [1]. Pengelasan ini yang paling mudah difahami dan konsep umum. Bakteria fotosintetik adalah bakteria yang memerlukan cahaya matahari untuk membuat makanannya. Ada banyak bakteria dalam kelas ini, contohnya Chromatrium sp., Chlorotium sp., R. sphaeroldes dan Rhodobacter. Kumpulan ini bertanggungjawab menghasilkan asid amino, asid neukleik, mengikat nitrogen dari udara dan menukarkan gas-gas beracun seperti gas ammonia dan gas hidrogen sulfida kepada unsur nitrogen yang dapat digunakan oleh tumbuhan.

Bakteria asid laktik berfungsi untuk mempercepatkan penguraian dan proses penapaian bahan organik.  Penghasilan asid laktik oleh bakteria ini mempercepat penguraian lignin dan selulosa yang merupakan struktur kompleks karbohidrat. Contohnya L. casei, L. plantarium, Streptococus laktis dan Psedococus sp. Asid laktik akan menekan pertumbuhan patogen dan mengurangkan populasinya.

Actinomycetes merupakan mikroorganisma yang suka tolong menolong. Ia selalunya akan wujud bersama bakteria fotosintetik. Seperti jiran-jiran yang baik, actinomycetes akan menggunakan asid amino yang dihasilkan oleh bakteria fotosintetik tadi untuk menghasilkan satu bahan antikuman. Contoh : Micromonospora sp., Nakarda sp., Propinis bakterium sp., Streptomyces albus dan S. griscus.

Kumpulan terakhir ialah yis. Contohnya Canerda c. utilis, S. cerevisiae dan Sacharomyces. Yis menghasilkan substrat / bahan makanan untuk bakteria asid laktik dan actinomycetes, hormon, enzim dan bahan antibiotik.

Pun begitu, terdapat juga kumpulan cendawan penapaian dalam EM tadi. Cendawan ini mempercepatkan penguraian bahan organik, menghasilkan sejenis antimikrob daripada ester alkohol, menghilangkan bau busuk serta mencegah serangga dan ulat perosak. Contohnya Aspergillus oryzae, A. niger, Muchorhiermalis penicillium.

Rujukan:

[1] Circle Field Sdn Bhd, Klang (2007)

BERITA SEMASA EM

Selepas era millenium, teknologi EM mengalami banyak evolusi. Kajian demi kajian dijalankan untuk mengekstrak manfaat daripada bakteria tanah ini. Bumi ini sudah begitu tua, tetapi ilmu EM sahaja belum habis-habis.

Baru-baru ini, sebuah syarikat tempatan yang mengeluarkan baja bokashi dan produk pertanian berasaskan EM sedang dalam rangka penggunaan teknologi EM terbaru dalam pasaran negara ini. Kompeni berikut ‘blend’ EM import / kultur industri yang biasa dibeli orang tu (EM1) dengan bakteria setempat / IMO. hasil gabungan ini dipanggil super activated microorganisme. Kata seorang wakil syarikat, gabungan ini memendekkan tempoh eram bokashi dan jauh lebih efektif daripada penggunaan EM / IMO secara sendirian.

Mereka juga menjemput konsultan EM yang masyhur, iaitu Vinny Pinto untuk memandu projek tersebut. Vinny Pinto kini berada di Malaysia selama 2 minggu. Saya dulu selalu merujuk penulisan beliau kerana banyak yang dia kongsi di internet tentang EM. Dia merupakan jurutera Em mat saleh yang bekerja di India, semasa saya membaca laman webnya.

EM ni baru popular di Malaysia walaupun ramai yang dah lama menggunakannya. Barangkali 2-3 tahun lagi EM ni akan jadi heboh macam buah naga,  dokong, lintah yang pernah popular secara bermusim dulu. Tetapi apabila saat itu tiba, pasaran pun dah tepu dengan EM.  Pun begitu tiada ruginya, EM ni bermanfaat besar bukan saja sektor agrikultur, tapi kegunaan rumah, kumbahan, perhotelan, industri dan kegunaannya diperluaskan.

Penggunaan IMO ni dapat menjimatkan kos pengurusan kebun/ladang. atau kos pembikinan baja berbanding penggunaan cacing atau agen lain sebagai mangkin biologi. bakteria sememangnya ramuan penting dalam baja, tetapi mengikut pengusaha-pengusaha baja organik yang saya kenali,  kekuatan baja bukan terletak  pada EM. tetapi pada bahan organiknya.

ISU KEYAKINAN TERHADAP BAKTERIA IMPORT (BAHAGIAN II)

SENARIO DI MALAYSIA RAYA

Di Malaysia, syarikat yang bertanggungjawab mengkultur dan mengedarkan EM dari Jepun ini adalah JAMOS. Baru-baru ini timbul isu EM ini dikatakan diperbuat daripada sumber yang najis dan tidak halal seperti arak dan kompos najis khinzir. Lebih tidak enak lagi apabila ada individu yang mengaitkan saya dalam kenyataan tadi. Suka saya terangkan di sini perkara yang sebenar untuk memberikan gambaran yang betul tentang isu ini.

Saya telah bertemu dengan jurutera EM JAMOS, Encik Hishamuddin bin Md Kaderi pada satu kursus aplikasi EM tidak lama dahulu. Encik Hishamuddin juga merupakan Pengarah Tekanikal Circle Field (CF) Sdn Bhd beribu pejabat di Ampang, Selangor. Beliau memberi jaminan EM yang diambilnya daripada Jepun ini halal, suci dan tidak mengandungi unsur-unsur najis. EM tersebut diperbuat daripada biji soya dan tumbuh-tumbuhan.

Pengkulturan di kilang dipantau oleh jurutera-jurutera tempatan dan Jepun untuk memastikan kualiti yang seragam dan terjamin. Malahan saya juga diberitahu oleh Encik Hisham bin Johar, salah seorang Pengarah CF bahawa beliau minum larutan EM tersebut untuk membuang lemak, serta keluarganya juga mengamalkan meminum EM ini. Maka tidak timbul isu haram dan najis, malah sudah ditanggung halalnya oleh Encik Hisham sendiri.

ISU BAJA ORGANIK TIDAK HALAL

Isu baja EM dari sumber tidak halal di pasaran bukan perkara baru, malah di perkatakan dari mulut ke mulut. Yang menjadi kegusaran pengguna Islam di negara kita apabila kita tidak dapat memastikan kesucian sumber baja, memandangkan baja import organik yang diperbuat dari kompos najis haiwan dikatakan ada yang merupakan najis khinzir. Sejauh mana benar dakwaan ini tidak dapat saya buktikan. Atas isu inilah, pengusaha baja organik tempatan mencari inisiatif untuk memformulasikan produk tempatan yang halal, suci dan selamat seperti produk ALFA-G.

EM yang dibuat daripada alkohol, tuak dan arak bagi saya tidak menjadi masalah, selagi tidak digunakan sebagai barang makan. Akhirnya EM ini akan dicurah ke atas najis haiwan untuk dijadikan kompos juga. EM yang dibuat sendiri maka si pembuat itu lebih arif tentang kehalalannya. Pak guru organik saya, Pak Lias belum pernah bercerita dia minum larutan ekstrak EM buatannya. Tetapi beliau menyimpan, memelihara dan menggunakan larutan yang sama untuk membuat baja selama 3 tahun.

ISU KEYAKINAN TERHADAP BAKTERIA IMPORT

VINNY PINTO- JURUTERA EM

Vinny Pinto, seorang jurutera EM mat saleh yang bekerja di India memberi komen, sesetengah negara eropah dan asia amat skeptik dan takut dengan ‘mikrob asing’ atau EM. Yang menjadikan saya terperanjat ialah apabila beliau mengatakan ketakutan ini sangat ketara terutamanya di Malaysia.

Pada permulaan saya kurang percaya dakwaan Pinto tentang rakyat Malaysia, tetapi setelah diajukan soalan ini oleh seorang forumer di http://www.bicarajutawan.com, saya rasa secara umum dakwaan Pinto berasas.

SEBENARNYA..

Pinto menjernihkan kekeliruan ini, beliau menyatakan bakteria wujud di mana-mana pun, zaman berzaman sudah tersebar seantero dunia melalui laut, angin, serangga, ikan, glasier, kereta, trak, kontena. Yang tidak mudah tersebar adalah bakteria yang hidup dalam keadaan ekstrem, suhu terlalu tinggi atau terlalu rendah. Contohnya, bakteria yang hidup 3 kaki di bawah lapisan ais Artik. Ho..jauh tu, memang tidak tersebar. Saya juga sependapat dengan Pinto, dakwaan bahawa EM import ini merbahaya kurang tepat kerana EM tidak merbahaya kepada ekosistem kita malah merupakan sebahagian daripada ekosistem.

EM- HAKCIPTA TERPELIHARA

EM sebenarnya satu istilah yang sudah menjadi hak cipta kepada Dr Teruo Higa, seorang profesor hotikultur dari Universiti Kyusei, Jepun dan syarikatnya yang memasarkan EM ke seluruh dunia iaitu EMRO. Dr Higa sudah menjalankan penyelidikan EM hampir 16 tahun sebelum melihat peluang meniagakan EM yang tidak dilihat oleh orang lain seluruh dunia. Maka Dr Higa bertindak bijak dengan mem’pattern’kan EM, mencari agensi pemasaran dan meletup-letup di pasaran antarabangsa.

MENGELILINGI DUNIA

Larutan EM1 (EM tulen) ini dipasarkan ke India untuk penggunaan kawalan kumbahan dan sungai, ke Hawaii untuk pertanian dan projek-projek sekolah, ke Malaysia untuk pertanian dan penternakan, ke US untuk pertanian organik, penternakan dan produk-produk hiliran seperti pembersihan air, baja, nyahbau kegunaan rumah, industri dan perhotelan.

PERBANDINGAN IMO DAN EM (BAHAGIAN II)

MANA LEBIH BERKESAN?

Ada perdebatan tentang yang mana lebih efektif, IMO atau EM. Mungkin isu ini timbul apabila pengguna membandingkan harga EM dengan IMO kerana EM harganya lebih mahal dan IMO adalah lebih murah. Juga faktor kualiti, samada mutu IMO yang dihasilkan sendiri setanding EM yang dibeli atau mutunya berubah-ubah.

EM tulen atau dipanggil EM1 merupakan barangan import yang diakui selamat digunakan dalam negara kita. Malah EM ini telah pun digunakan di negara-negara serantau dan seluruh dunia. Ia bukan merupakan produk baru, tetapi teknologi purba yang mendapat nafas baru dalam arena perniagaan dan demi kelestarian pertanian.

MENGAPA HARGA BERBEZA?

Harga EM lebih mahal dari IMO kerana EM barangan import. Ia dihasilkan melalui pengkulturan, kualiti dipantau oleh jurutera, mengalami pembungkusan, pengangkutan, pengambilan keuntungan dan royalti hak cipta, pengedar sebelum sampai kepada pengguna. Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, harganya lebih sedikit dari bakteria setempat yang dijual oleh pengusaha tempatan.

EM yang saya beli tempohari adalah mycellium, bakteria anaerobik dari gunung berapi. Ia hidup pada suhu tinggi 65 darjah Celsius. IMO pula bakteria-bakteria setempat dari tanah sekeliling kita, ia hidup suhu tanah yang biasa dalam 25degC. Kedua-dua jenis ini tidak boleh hidup bersama, kerana suhu persekitaran yang tidak sama. Penapaian EM volkanik akan membunuh bakteria setempat.

INISIATIF ANAK TEMPATAN

Pengusaha baja tempatan sudah lama menyedari kepentingan IMO ini. Ia merupakan ilmu warisan kaum petani, dimana kaum petani membuat baja kompos dahulu kala. Mereka akan mengorek tanah seluas kira-kira satu lot parking space, menabur satu lapisan tahi kambing, satu lapisan kapur, satu lapisan tanah dan mengulanginya untuk beberapa lapisan yang difikirkan perlu. Kompos tersebut dibiarkan reput untuk sebulan. Ini penggunaan IMO.

Zaman sekarang, dengan asimilasi teknologi pertanian dari negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Taiwan dan Jepun yang mahir dalam pertanian lestari, pengusaha tempatan sudah mula memasarkan bakteria setempat dan teknik-teknik memaksimumkan hasil tanaman menggunakannya. Usaha ini memerlukan kajian berterusan, iltizam dan pak guru. Melalui pembikinan yang berulang-ulang dan pengalaman, barulah kita dapat menentukan dengan mudah peringkat mutu produk yang kita hasilkan.

Memandangkan IMO ini produk tempatan, kebanyakannya lebih murah daripada Em. Warna larutannya keputih-putihan, ada juga keperang-perangan, baunya masam-masam manis dan agak likat. Terdapat juga pendapat yang mengatakan mikrob menjadi berguna jika ia suka pada tempat yang diletakkan. Oleh sebab itulah mereka mengesyorkan supaya menggunakan IMO daripada EM. IMO dan Em, akan makan benda yang sama, jika ada makanannya, adalah aktiviti metabolismanya.

Ada juga pendapat lain mengatakan IMO tak begitu efektif jika proses penapaiannya tidak betul. Itu betul, jika penapaian tidak sempurna atau dicemari, maka bakteria baik tidak berjaya dihasilkan. Pembikinan kedua-duanya tidak sukar, malah tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi. Ia merupakan bakteria yang lasak dan sangat suka persekitaran yang normal.

PERBANDINGAN IMO DAN EM (BAHAGIAN I)

Sebenarnya EM (effective microorganism) dan Indegenous Microorganisms (IMO) adalah perkara yang sama tapi ada perbezaannya. EM biasanya kegunaan industri, diternak secara besar-besaran dalam persekitaran terkawal di makmal bioteknologi atau kilang perindustrian. Manakala IMO pula, EM yang dibuat sendiri, diternak daripada kawasan persekitaran kita sendiri kerana tanah di sekeliling kawasan kita juga mempunyai IMO.

Microorganisma yang digunakan untuk buat bokashi boleh di kumpul sendiri. Kumpulan organisma ini dinamakan indegenous micro-organism (IMO) atau bakteria setempat. IMO ini digunakan sebagai mangkin untuk menghasilkan produk-produk organik seperti baja foliar, kompos dan kawalan serangga untuk teknik pertanian natural (Natural Farming).

IMO merupakan bahan asas untuk menghasilkan Fermented Plant Juice, Fermented Fruit Juice, Fermented Fish Extract dan lain-lain. IMO ini boleh dikumpulkan dengan memeram nasi di dalam tanah atau dibawah rumpun buluh selama 3-5 hari dan kemudian digaul dengan gula merah. Perkara-perkara ini akan saya sentuh dalam pos-pos akan datang.

Terdapat EM yang merupakan bakteria volkanik. EM jenis ini hidup di kawasan.persekitaran ekstrem yakni suhu persekitaran yang tinggi seperti dalam kolam air panas dan kawah-kawah gunung berapi. Ia merupakan bakteria anaerobik, tidak memerlukan oksigen untuk bertindak/ melakukan penapaian dan bahan penapaian tadi boleh mencecah suhu yang tinggi semasa aktiviti berjalan. Oleh yang demikian, semasa membuat kompos eloklah kompos itu ditutup untuk mempercepatkan poroses pereputan menggunakan EM.

Disebalik perbezaan-perbezaan ini, aplikasinya sama sahaja. Boleh menghasilkan produk yang sama seperti Fermented Plant Juice, Fermented Fruit Juice, Fermented Fish Extract dan lain-lain. Allah Maha Pemurah, dia memberikan pada semua bangsa kumpulan bakteria ini untuk kemudahan mereka, bukan pada suatu tempat dan suatu kaum sahaja. Sehinggakan bakteria ini boleh diniagakan atau dihasilkan sendiri di belakang rumah. Maka tiada keraguan tentang keberkesanan bakteria setempat berbanding bakteria import. Begitu juga sebaliknya.

PENJAGAAN BIJI BENIH DAN SEMAIAN ANAK BENIH

Cara untuk menyemai anak benih:

  • 2 helai surat khabar di rendam dalam besen berisi air (2-3jam)
  • Isikan biji benih ke dalam sebuah cawan. Tuang air sehingga memenuhi ¾ cawan tersebut. Tambahkan 1 sudu garam.
  • Biarkan biji benih selama 15 minit untuk membunuh kuman.
  • Toskan. Tebarkan surat khabar yang lembap itu, tabur biji benih ke atas permukaan salah satu helaiannya. Tutup dan gulung.
  • Simpan dalam plastic lutsinar (beg plastik)
  • Tiup dengan nafas sehingga plastic kembung.
  • Ikat dengan kemas dan jemur di bawah matahari. Plastik sedia untuk di buka selepas 36jam.
  • Selepas 36 jam, buka plastic dan kelurkan anak benih, masukkan dalam tray anak semaian.
  • Gulung semula surat khabar dan ulangi langkah 5 ke langkah 8 untuk biji benih yang belum bercambah

BAKTERIA BIOMANGKIN

Bokashi bererti bahan organik yang ditapai dalam bahasa Jepun. Kandungan aktif dalam bokashi adalah sekumpulan bakteria yang di panggil EM (Effective Micro-Organisme), atau juga dipanggil BMO (Bacteria Micro-Organisme).

Kedua-duanya adalah perkara yang sama, wujud secara semulajadi dalam tanah. Ada juga EM ini sumber volkanik, yakni berasal dari gunung berapi yang ekstrem keadaannya. Saya menggunakan EM ini untuk membuat bokashi, baja foliar, merawat kucing kesayangan dan membersihkan tandas. Ia berbentuk larutan cair keperang-perangan dan berbau manis. Saya membekalkan larutan ini pada harga RM10/liter tidak termasuk harga pos.

Mulai dari sekarang, saya akan merujuk EM ini sebagai bacteria biocatalyst / biomangkin (BIOM). Hal ini kerana EM merupakan perkataan hakcipta Dr Teruo Higa, Professor Hotikultur dari Jepun yang memasarkan larutan EM tulen ke seluruh dunia. Bakteria ini sudah sedia wujud dimana-mana, Allah berikan pada semua umat dan tidak pada suatu kaum sahaja untuk memperoleh manfaatnya. Hatta dari Thailand ke Iraq, Jepun ke Malaysia, dan jauh di Switzerland, bakteria ini tetap ada.

Bakteria biomangkin berfungsi sebagai mangkin untuk menapaikan campuran-campuran media yang terdiri dari bahan-bahan organik kepada baja kompos pada satu tempoh penapaian. Sifatnya sangat mesra alam dan ekonomi memandangkan pembiakan bakteria adalah secara mereplikat/mengganda dengan cepat. Saya sangat sukakan konsep itu, seolah-olah anda telah leverage kerja anda, dengan memiliki satu batalion askar pertanian dalam sebuah balang.

Biom ini biasanya digolongkan kepada 3 kategori mikrob iaitu yis, bakteria fotosintetik dan actinomycetes. Yis menghasilkan enzim dan hormon untuk pertumbuhan pokok. Actinomycetes menghasilkan biokimia yang menghalang serangan penyakit dan serangga perosak seperti afid, weevil, kumbang kaboi. Bakteria fotosintetik menguraikan bahan organik kepada nutien teringkas yang boleh diserap oleh pokok. Kumpulan mikrob biom ini boleh dibahagikan lagi kepada 11 kategori dan fungsi-fungsinya serta boleh dibincangkan dengan lebih halus pada masa akan datang.

Create a free website or blog at WordPress.com.

Atas ↑