kadar 1:1 boleh dipakai untuk menghasilkan baja foliar atau baja kompos. pertama, kita cuba nisbah 1:1 ni untuk buat baja foliar. satu pelajaran dalam satu masa. sekarang kita bercakap mengenai BAJA FOLIAR atau bagi yang kurang fasih bab baja ni kita panggil BAJA SEMBURAN DAUN.

apa yang 1:1 tu? 1 bahagian adalah sisa organik, dan 1 bahagian lagi adalah gula merah. sisa organik yang biasa digunakan untuk buat BAJA FOLIAR ada 4 jenis. (A) buah-buahan, (B) sayuran, (C) ikan/hidupan laut & (D) herba.

(A) buah-buahan. semua jenis buah hampir boleh digunakan. buah import/tempatan macam pisang, manggis, anggur, dokong balun semua. Antara buah-buah yang baik ialah labu, tembikai, nenas. yang tak sesuai ada beberapa, contohnya betik sebab akan jadi arsenik, buah kelapa sawit banyak minyak. minyak tak rasi dengan EM. minyak molekulnya terlalu kompleks, EM tak faham macamana nak makan kompleks2 ni…

Buah-buah yang masak banyak kandungan gula. buah-buah yang muda banyak hormon pertumbuhan. jadi kedua-duanya boleh digunakan.  Baja ini dipanggil FERMENTED FRUIT JUICE (FFJ).

(B) sayuran. semua jenis sayuran boleh digunakan. sawi, kailan, kulit timun, paku pakis. sayuran ni banyak sikit serat, vitamin larut air macam A,D,E,K. banyak juga klorofil yang merupakan antioksidan. Baja ni dipanggil FERMENTED PLANT JUICE (FPJ).

(C) ikan. ikan sumber asid amino. rumpai laut pun boleh. ikan bilis, perut ikan, darah ikan, semuanya sesuai. yang tak sesuai adalah hidupan laut yang Allah jadikan sebagai ‘majlis perbandaran’. kerjanya mencuci dasar laut daripada sampah,logam berat dan toksik. contoh sotong, ikan pari. apa lagi? kalau buat baja tak sesuai, makan sesuai tak?😉 baja ini dipanggil FERMENTED FISH AMINO (FFA).

(D) herba. herba ni tumbuhan juga, cuma dia ada nilai perubatan yang tinggi. contoh bawang putih, halia, licorice, habbatussauda, kulit kayu manis. biasanya tumbuhan herba tidak disukai perosak dan kurang musuh. herba mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan kebanyakannya antikulat, antikuman, antibiotik. Baja ni dipanggil ORIENTAL HERBAL NUTRIEN (OHN).

apa yang kita nak buat bersama rakan peserta isnin ni ialah baja dari herba, OHN tu. Yang ni banyak sikit boleh cerita.

Gula merah pulak berFUNGSI sebagai sumber tenaga bagi bakteria baik. Gula apa pun boleh pakai, gula putih, gula apong, gula melaka, gula kerek, gula perang, molasses. Saya pilih gula merah sebab senang nak dapatkan dan tak dirawat secara kimia, natural. Tanpa sumber tenaga, bakteria baik lambat nak membiak kerana terpaksa bersaing makanan dengan bakteria2 jahat atau yang tak berkaitan. Jadi, kita perlukan sumber tenaga pada nisbah yang mencukupi supaya simple sikit kerja kita. 

Seelok-eloknya simpan dalam balang kaca, bukan plastik. anda pernah dengar tak balang plastik ni merbahaya untuk kesihatan kita sebab plastik dia larut dalam makanan kita? jadi untuk menghasilkan baja yang bagus sikit dari biasa, kita start dengan pakai balang kaca.

esok para peserta yang menyertai kursus online suka-suki ni bolehlah mula menyediakan barang. basuh bersih-bersih ya semua barang yang nak pakai. tahap kebersihan tu, tahap kita nak prepare makanan untuk masuk mulut sendiri dan mulut para tetamu. itu salah satu adab menghormati bakteria yang kita nak jemput kedalam baja. selamat beramal!