bacterial mineral water (BMW)
bacterial mineral water (BMW)

Air mineral berbakteria atau Bacterial Mineral Water (BMW) adalah satu takungan air yang menyediakan air baja yang kaya dengan kandungan mineral dan bakteria berguna. Pembuatannya mudah, yang penting kita memahami KONSEP dan FUNGSI setiap bahan. Yang selebihnya, adalah SISTEM yang kita olah sendiri mengikut kreativiti, kemampuan dan bajet. Jadi, anda hanya perlu fahami KONSEP dan FUNGSI sahaja. Bagaimana anda ingin mendirikan SISTEMnya adalah bebas pada kreativiti sendiri.

 

FUNGSI BMW

Menyediakan larutan baja yang sedia dipakai yang kaya dengan kandungan bakteria baik /EM serta unsur-unsur mineral untuk kesuburan pokok dan perawatan keadaan tanah. 

BAHAN-BAHAN:

  1. BOKASHI
  2. BATU-BATUAN
  3. TANGKI AIR
  4. JARING HITAM
  5. PLASTIK HITAM
  6. SUMBER AIR / PAIP GETAH

BOKASHI diperlukan untuk membebaskan EM kedalam tangki supaya dapat digunakan untuk siraman pada tanaman nanti. ‘Bokashi’ tak semestinya kompos bokashi sahaja yang boleh dipakai, tetapi juga boleh digantikan dengan IMO3, fermented fruit juice (FFJ), vermikompos atau tinja haiwan. Contoh saya sendiri menggunakan campuran vermikas, FFJ dan guano untuk ‘bokashi’ BMW saya. Letak dalam5-10kg kedalam sarung bantal lama atau kain muslin. Bokashi ini kita akan letak dalam tangki nanti.

BATU MINERAL

Batu-batuan yang boleh digunakan disini adalah batu-batuan yang kaya dengan mineral. Contohnya zeolite, GML/kapur, batu sungai, pasir, campuran batu-batuan atau sebagainya. Saya menggunakan batu zeolite lenggong kerana khasiatnya banyak. Batu zeolite ini lebih istimewa kerana termendap bersama-sama tahi kelawar, menjadikannya kaya dengan nitrat dan fosfat serta galian-galian lain. Letakkan batu-batu ini dalam bekas berjaring untuk memegang batu-batuan, membenarkan air masuk dan bertukar-tukar ion dengan batu mineral. Nak letak begitu sahaja tanpa bekas pun tak apa. Boleh letak segenggam garam laut untuk menambah kandungan mineralnya.

JARING HITAM & PLASTIK HITAM

Kedua-duanya berfungsi untuk mengelakkan cahaya ultra-ungu. Sinaran ultra-ungu akan membunuh EM. Ia juga mengelak dimasuki air hujan atau bahan-bahan cemar lain. Saya menggunakan jaring hitam sungkupan dan plastik silvershine untuk projek BMW ini. Untuk mencantikkan binaan, saya pacakkan 4 kayu disetiap penjuru untuk mewujudkan bentuk berbumbung. Saya letak satu kayu ditengah tangki untuk memegang kubah binaan. Binaan adalah optional. Terpulang kepada kreativiti dan bahan anda.

SUMBER AIR

Sumber air yang paling mudah bagi saya adalah menggunakan paip getah. Anda juga boleh mempelbagaikannya dengan menggunakan pam akuarium untuk menyedut air atau sebagainya.

Boleh rujuk sketch saya untuk buat semakan.

lakaran pembinaan BMW
lakaran pembinaan BMW