Antara soalan yang kerap diajukan kepada saya ialah apakah bahan organik yang boleh dipakai untuk menghasilkan baja kompos / bokashi. Bahan-bahan ini tidak semestinya kesemua jenis perlu ada, kalau ada tahi kambing sahaja, atau rumput kering sahaja, itupun sudah memadai. Saya kupas sedikit jenis-jenis bahan organik yang boleh dipakai untuk penghasilan bokashi.

BAHAN 1 : TINJA HAIWAN

Tinja haiwan merupakan sumber nitrogen dan fosfat yang tinggi. Nitrogen merupakan sumber asid amino yang penting untuk pertumbuhan daun dan klorofil, tanpa nitrogen pengeluaran hasil tanaman akan merudum. Fosfat penting untuk perwarisan baka serta untuk membina enzim tumbuhan. Unsur fosforus memastikan penyerapan cahaya matahari ditukarkan kepada unsur genetik tumbuhan dalam bentuk asid nukleik. Asid nukleik berfungsi dalam membawa genetik tumbuhan dan pembesaran akar (adlin_azamin, bicarajutawan.com).

Tinja haiwan yang paling baik dibuat baja dalam dunia ini adalah tahi kelawar / guano. Ia merupakan sumber fosfat dan nitrogen yang tinggi serta mengandungi mineral. Guano tidak berbau kuat dan banyak didapati dalam gua. Saya telah kupas dengan panjang lebar dalam post yang lepas. Tahi kambing juga mengandungi fosfat yang tinggi dan baik untuk pembungaan pokok. Kambing yang baru beranak akan makan kulit pokok daun telinga kerbau, dia tahu ubatnya. Mungkin kerana pemakanannya terdiri daripada tumbuhan dan herba-herba maka tahi kambing banyak nutrien.

Tahi lembu boleh di dapati dalam kuantiti yang banyak dan lebih murah. Ia juga baik untuk tanaman, tetapi sebaik-baiknya dijadikan kompos dahulu. Tahi lembu mengandungi benih rumput, jika tidak direputkan dahulu, spesis rumput baru boleh tumbuh di atas tanah. Tahi ayam mengandungi nitrogen yang tinggi kerana ia mengandungi urea dan hidrogen sulfida. Sebaik-baiknya tahi ayam direputkan dahulu sebagai kompos untuk menyahtoksikkan urea dan hidrogen sulfida kepada bentuk nitrat dan asid amino yang berfaedah kepada pokok.