Penambahan habbatus sauda’ ke dalam baja merupakan satu konsep baru bagi saya. Sebelum ini saya belum pernah mendengar penggunaan jintan hitam dalam formula baja organik. Fungsi bahan ini dalam baja adalah sebagai pelindungan bagi sistem imunisasi / daya tahan penyakit tumbuhan, seterusnya memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Habbatus sauda’ juga dikenali sebagai nigella sativa, jintan hitam, black seed atau black cumin. Seperti juga garam bukit, khasiatnya banyak sehinggakan kajian demi kajian masih dijalankan untuk merungkai kesan teraupetiknya. Habbatus sauda’ mengandungi 15 asid amino penting yang meransang pertumbuhan (sumber nitrogen), karbohidrat, lemak linolenik dan oleik, alkoloid, saponin, kalsium, kalium, besi, natrium disamping pelbagai unsur lagi melebihi 100 komponen. Ia memberikan kesan pemantapan sistem daya tahan organisma dengan meregulasikan hormon serta sistem-sistem seluruh badan.