SUMBER NITROGEN & FOSFAT

Maka tinja-tinja mereka pun mempunyai peratusan sumber N dan P yang tidak sama, bergantung kepada pengusaha, sumber makanan dan persekitaran habitat. Ada kawasan yang mempunyai guano sumber nitrogen lebih tinggi berbanding fosfat. Ada kawasan mempunyai sumber fosfat lebih tinggi daripada nitrogen.

Tahi kelawar boleh dijumpai dalam tiga bentuk iaitu segar, separuh mendapan dan mendapan sepenuhnya. Kadar pereputannya dipengaruhi oleh kandungan kelembapan yang ada semasan proses pemendapan.

Mana-mana jenis pun, tahi kelawar mengadungi kandungan makronutrien atau NPK yang tinggi disamping kaya dengan unsur surihan / mikronutrien. Ini memberikan kelebihan padanya sebagai baja bermutu kepada tumbuhan kerana unsur nitrogen menggalak pertumbuhan dan fosfat menggalak pembungaan.

Komposisi biokimia guano juga mengandungi ammonia, asid urik, asid oksalik dan asid karbonik.

KULAT & BAKTERIA GUANO

Tahi kelawar yang terdeposit dalam gua selepas beberapa ketika akan menghasilkan kulat dan bakteria. Guano mempunyai mikrob berfaedah dan juga mikrob tidak berfaedah. Mikrob berfaedahnya berfungsi sebagai racun kulat semulajadi, ia melindungi tumbuhan daripada serangan penyakit tanaman.

Mikrob yang tidak berfaedahnya pula adalah sejenis kulat yang tumbuh daripada pemendapan yang bertahun-tahun dan keasidan yang tinggi. Ia membebaskan spora yang merbahaya untuk kesihatan manusia yang boleh menyebabkan penyakit yang dipanggil histoplasmosis. Histoplasmosis adalah penyakit sistem pernafasan yang menyebabkan sakit dada dan demam. Ia boleh merebak daripada paru-paru ke mata, menyebabkan keadaan yang dipanggil sindrom histoplasmosis okular yang merosakkan pusat penglihatan. Jangkitan paru-paru tersebut boleh diubati, namun jangkitan okular tiada penawarnya lagi.