VINNY PINTO- JURUTERA EM

Vinny Pinto, seorang jurutera EM mat saleh yang bekerja di India memberi komen, sesetengah negara eropah dan asia amat skeptik dan takut dengan ‘mikrob asing’ atau EM. Yang menjadikan saya terperanjat ialah apabila beliau mengatakan ketakutan ini sangat ketara terutamanya di Malaysia.

Pada permulaan saya kurang percaya dakwaan Pinto tentang rakyat Malaysia, tetapi setelah diajukan soalan ini oleh seorang forumer di http://www.bicarajutawan.com, saya rasa secara umum dakwaan Pinto berasas.

SEBENARNYA..

Pinto menjernihkan kekeliruan ini, beliau menyatakan bakteria wujud di mana-mana pun, zaman berzaman sudah tersebar seantero dunia melalui laut, angin, serangga, ikan, glasier, kereta, trak, kontena. Yang tidak mudah tersebar adalah bakteria yang hidup dalam keadaan ekstrem, suhu terlalu tinggi atau terlalu rendah. Contohnya, bakteria yang hidup 3 kaki di bawah lapisan ais Artik. Ho..jauh tu, memang tidak tersebar. Saya juga sependapat dengan Pinto, dakwaan bahawa EM import ini merbahaya kurang tepat kerana EM tidak merbahaya kepada ekosistem kita malah merupakan sebahagian daripada ekosistem.

EM- HAKCIPTA TERPELIHARA

EM sebenarnya satu istilah yang sudah menjadi hak cipta kepada Dr Teruo Higa, seorang profesor hotikultur dari Universiti Kyusei, Jepun dan syarikatnya yang memasarkan EM ke seluruh dunia iaitu EMRO. Dr Higa sudah menjalankan penyelidikan EM hampir 16 tahun sebelum melihat peluang meniagakan EM yang tidak dilihat oleh orang lain seluruh dunia. Maka Dr Higa bertindak bijak dengan mem’pattern’kan EM, mencari agensi pemasaran dan meletup-letup di pasaran antarabangsa.

MENGELILINGI DUNIA

Larutan EM1 (EM tulen) ini dipasarkan ke India untuk penggunaan kawalan kumbahan dan sungai, ke Hawaii untuk pertanian dan projek-projek sekolah, ke Malaysia untuk pertanian dan penternakan, ke US untuk pertanian organik, penternakan dan produk-produk hiliran seperti pembersihan air, baja, nyahbau kegunaan rumah, industri dan perhotelan.