SENARIO DI MALAYSIA RAYA

Di Malaysia, syarikat yang bertanggungjawab mengkultur dan mengedarkan EM dari Jepun ini adalah JAMOS. Baru-baru ini timbul isu EM ini dikatakan diperbuat daripada sumber yang najis dan tidak halal seperti arak dan kompos najis khinzir. Lebih tidak enak lagi apabila ada individu yang mengaitkan saya dalam kenyataan tadi. Suka saya terangkan di sini perkara yang sebenar untuk memberikan gambaran yang betul tentang isu ini.

Saya telah bertemu dengan jurutera EM JAMOS, Encik Hishamuddin bin Md Kaderi pada satu kursus aplikasi EM tidak lama dahulu. Encik Hishamuddin juga merupakan Pengarah Tekanikal Circle Field (CF) Sdn Bhd beribu pejabat di Ampang, Selangor. Beliau memberi jaminan EM yang diambilnya daripada Jepun ini halal, suci dan tidak mengandungi unsur-unsur najis. EM tersebut diperbuat daripada biji soya dan tumbuh-tumbuhan.

Pengkulturan di kilang dipantau oleh jurutera-jurutera tempatan dan Jepun untuk memastikan kualiti yang seragam dan terjamin. Malahan saya juga diberitahu oleh Encik Hisham bin Johar, salah seorang Pengarah CF bahawa beliau minum larutan EM tersebut untuk membuang lemak, serta keluarganya juga mengamalkan meminum EM ini. Maka tidak timbul isu haram dan najis, malah sudah ditanggung halalnya oleh Encik Hisham sendiri.

ISU BAJA ORGANIK TIDAK HALAL

Isu baja EM dari sumber tidak halal di pasaran bukan perkara baru, malah di perkatakan dari mulut ke mulut. Yang menjadi kegusaran pengguna Islam di negara kita apabila kita tidak dapat memastikan kesucian sumber baja, memandangkan baja import organik yang diperbuat dari kompos najis haiwan dikatakan ada yang merupakan najis khinzir. Sejauh mana benar dakwaan ini tidak dapat saya buktikan. Atas isu inilah, pengusaha baja organik tempatan mencari inisiatif untuk memformulasikan produk tempatan yang halal, suci dan selamat seperti produk ALFA-G.

EM yang dibuat daripada alkohol, tuak dan arak bagi saya tidak menjadi masalah, selagi tidak digunakan sebagai barang makan. Akhirnya EM ini akan dicurah ke atas najis haiwan untuk dijadikan kompos juga. EM yang dibuat sendiri maka si pembuat itu lebih arif tentang kehalalannya. Pak guru organik saya, Pak Lias belum pernah bercerita dia minum larutan ekstrak EM buatannya. Tetapi beliau menyimpan, memelihara dan menggunakan larutan yang sama untuk membuat baja selama 3 tahun.