Semasa mencari bahan rujukan mengenai baja, saya terjumpa naskah Berita Pertanian (Tahun 2004) keluaran Jabatan Pertanian Negeri Perak bilangan 60 mengenai baja foliar ekstrak. Kebetulan, penulis artikel tersebut Encik Abni Majah bin Tormiz merupakan Pembantu Pejabat Pertanian Lenggong dan kami selalu bersua muka di pejabatnya atau di rumah seorang pengusaha baja organik.

BAHAN-BAHAN:

1 bahagian sayur-sayuran segar (katakan 1kg)

1 bahagan buah-buahan terlalu masak

1 bahagian benih berkelembapan tinggi

1 kg gula merah

1 raga rotan atau tong

LANGKAH PENYEDIAAN:

1. Cincang sayuran, buah-buahan dan benih kepada ketul-ketulan sederhana besar.

2. Campurkan ketiga-tiganya kedalam satu tong atau raga rotan (dalam 3 kg).

3. Campurkan 1 kg gula merah, gaul rata dengan bahan organik tadi.

4. Simpan raga rotan / tong ditempat teduh pada suhu biasa.

5. Campuran ditekan & diperam selama 1-2 malam, hasilnya diambil.

6. Peram lagi untuk 7-15 hari dan jusnya diambil.

PENGGUNAAN:

A. Disembur pada daun setiap 5hari. (10cc = 1 sudu besar larutan ekstrak + 1Liter air)

B. Tambah 100-120cc pada 10liter air dan siram di pangkal pokok. Tutup pangkal pokok dengan baja organik. Kemudian, gunakan rumput kering atau jerami untuk menutup pangkal pokok. Ulangi langkah ini setiap 15 hari.

Larutan hasil inilah yang dipanggil larutan ekstrak biologikal ataupun baja foliar EM. Ia boleh disimpan sehingga 1 tahun. Dalam larutan ini mengandungi asid laktik, mikrob, asid humik serta bahan-bahan organik yang menjadi keperluan asas tumbuhan seperti N, P, K, Bo, Fe, Ca, C.

Jika anda ingin menghasilkan baja yang lebih rumit seperti baja ikan, udang, batuan mineral dan sebagainya bolehlah digunakan. Ikuti arahan atau nisbah yang diberikan untuk menjamin mutu baja ekstrak yang dihasilkan.

Selain selamat dan mudah disediakan, baja foliar buat sendiri dapat mengurangan kos input @ baja sehingga 20%-40%. Amalan ini sudah terbukti melalui petani yang dipilih oleh Pejabat Pertanian Daerah Kecil Lenggong, Hulu Perak. Penggunaan baja foliar ini dilaporkan meningkatkan hasil tembikai (watermelon super dragon) sehingga 1.6tan/0.05 hektar selain memanjangkan hayat tanaman tembikai sehingga 2-3 minggu.