Tag Archives: baja organik

HARI PERTAMA: Penghasilan OHN

banner-e-courseMacamana? dah buat OHN? senang, konfius ke, susah? :D

Senang saja cara membuatnya, tiada roket sains. Anda lakukan seperti yang saya tunjukkan, ia mmg semudah itu. 70% kefahaman akan datang sendiri apabila anda mengalaminya sendiri.

Pastikan bahan yg digunakan bersih dan dibersihkan, bawang putih yg lama pada kulitnya kadang2 ada kulat hitam. kulat hitam tu merbahaya/toksik untuk kesihatan, ia menghasilkan gas hidrogen sulfida, sedikit saja sudah membahayakan kesihatan. ia perlu dibasuh bersih.

Ramai yang bertanya, mengapa 1:1. dan 1 lagi soalan popular, mengapa balang kaca. maaf jika saya tidak menjawab komen2 anda dgn panjang, saya akan jelaskannya panjang lebar disini.

saya telah menjelaskan dalam post yg lepas tentang konsep 1:1. jika anda ingin mengkultur apa2 mikrob, panduan yang mudah dan praktikal adalah membekalkan sumber tenaganya dengan kadar yang sama banyak. kalau nak jadikan EM1 kpd EMAS pun 1:1, nak kultur IMO pun 1:1, nak buat baja foliar pun 1:1. mudahkan?

mengapa kita tak menggunakan air? sebab kita nak menghasilkan larutan yg pekat dan berkualiti. larutan baja pekat terawet dengan baik.tahan lama. mengurangkan risiko pencemaran. jika disimpan dgn baik blh tahan bertahun. pakai sedikit saja sudah mencukupi.

perhatikan sifat gula merah dgn teliti. kenapa ia mencair jika terkena udara? sbb ia bersifat higroskopik. higroskopik bermaksd sgt mudah menyerap air dalam udara. bila gaul dgn bahan, ia mencair dgn sendiri dengan kehadiran haba dan molekul air. kepekatannya cukup kuat nak menyerap (1) jus dlm bhn dan (2) kelembapan udara. jika anda faham ini maka anda tidak perlu keliru dgn sesetengah resepi yg menggunakan air. ia optional.

penambahan air adalah optional. air sifatnya pelarut, ia akan menjadi perumah utk ekstrak2 dlm halia dan bwg putih yang terbebas. ia menjadi perumah untuk bakteria2 membiak. menambh air akan meningkatkan kemasaman larutan, makin cepatlah ia mencuka. bukankah cuka merupakan larutan cair yg masam? bahan organik lebih cepat reput dlm air. tanpa air, baja lebih tahan lama. ia terawet dgn lbh baik.

dengan menumbuknya, luas permukaan bertindak untuk herba lebih besar dan byk ekstrak boleh keluar. nak blender pun blh, tu pun kalau tak merosakkan blenderlah. lumat tak pa, tak lumat pun ok.kita cuma nak meringkaskan proses ekstrak.

pilihlah balang kaca untuk menyediakan baja foliar. anda blh memantau perubahannya dengan jelas. kaca tidak bertindakbalas dengan bahan, tetapi plastik ya. dewasa ini kita sudah terlalu biasa dengan penggunaan plastik, malah sudah sebati dgn gaya hidup kita. walhal plastik tu mencair sikit2 kedalam air minuman kita dalam peti ais, masuk dlm makanan panas yg kita hidang dalam pinggan. tetapi apakan daya nak membuang budaya plastik ini bukan mudah, sudah menjadi adat.

saya mengesyorkan kalau boleh, anda gunakan balang kaca. kecil pun tak apa. di makmal2 sains larutan kimia dan bakteria disimpan dalam bekas kaca. mulakan minilab yang betul dirumah anda. kefahaman akan datang selepas itu.

larutan OHN ini akan di peram seminggu. hari ni 24hb, maka 1hb Dis dah blh pakai. jangan lupa melabel tarikh buat, tarikh matang, nama baja & beratnya. kita biarkan larutan menjadi ‘mesra’ dan sebati dengan sendiri. simpan ditempat teduh dan anda sekeluarga boleh melihatnya.

homework esok:

cuba gali khasiat bawang putih dan halia. apakah kandungan yg ada padanya? esok kita akan gali mengenai fungsi OHN dan faedahnya

Tagged

1:1

pada pendapat saya, penghasilan baja organik adalah mengenai penghasilan cuka. rasulullah s.a.w pernah bersabda: cuka adalah bumbu (seasoning) para nabi sebelumku. bererti teknologi cuka merupakan antara teknik pembuatan tertua dalam peradaban dunia, sememangnya ilmu ini berkembang dari satu tamadun ke satu tamadun, terutamanya sekali di bumi anbia’ seperti afganistan, iraq dan india.

andakah anda tahu bahawa sebelum berlaku peperangan, orang iraq dan afgan sangat bijak dalam bidang agrikultur dan natural farming? teknologi dan kebijaksanaan mereka dalam bidang sains pertanian sangat mengkagumkan, mereka mampu membina sistem pertanian bersepadu dengan sistem saliran yang mantap di bumi yang diseliputi pasir. mereka mempunyai makmal baka tumbuhan yang terbaik di muka bumi sebelum di hidu oleh para seteru. banyak tinggalan berharga dalam ilmu ini musnah dan lenyap kerana peperangan dan untuk kedua-dua negara kembali stabil, ia mengambil masa berpuluh-puluh tahun lagi*.

kini rakyat negara-negara tersebut dalam kemiskinan, mereka tidak mampu membeli baja NPK dan sistem fertigasi untuk kelangsungan perniagaan. mereka bergantung sepenuhnya kepada pertanian organik, natural farming, alam sekitar, hubbul minallah dan konsep 3T-tanam, tinggal, tuai. apakah rahsia survival mereka?

bagi tahap pemahaman umum dan rendah macam saya ini, memahami konsep asas adalah mencukupi dan amat penting. konsep asas penghasilan baja organik adalah 1:1. maaf kalau salah, mungkin mazhab kita berbeza.

adakah bahan-bahan organik di sekitar anda membuatkan anda berfikir? contohnya nak menghasilkan baja organik ada dua mangkin biologi/biocatalyst iaitu cacing dan bakteria setempat. secara umum kita mengetahui 1kg cacing boleh makan 1kg makanan dalam 1 hari. maka nisbah cacing kepada makanan = 1:1. manakala anggaran sumber tenaga/gula merah untuk mengkultur bakteria juga 1:1 untuk 1 minggu. enzim juga sejenis mangkin biologi, boleh anda beritahu saya berapa nisbah enzim dengan bahan penghasilnya (hormon?) untuk tempoh berapa lama ?

anda bertanya kepada saya apakah formula yang tepat untuk menghasilkan baja yang bermutu. kalau saya tahu jawapan itu saya tidak menulis blog rasanya, saya jual saja formula tersebut dan tuan2 mesti membayarnya. pasti saya tidak berikan secara percuma. sebab itu bangsa asing boleh mempermainkan dan mempengaruhi minda kita dengan dakyah barang import, sebab kita tidak mencuba mencari jawapannya sendiri.

kalau anda inginkan rahsianya, mulakan dahulu membuat baja yang paling cikai. saya berikan resepi percuma disini, adakah anda sudah mencubanya? pakai dan tengok kesannya. kemudian buat baja yang standard sikit, pakai dan bandingkan. ulangi cara ini. anda tidak yakin dengan keupayaan sendiri kerana tidak pernahpun mencuba bahan yang mudah, bahan yang rosak, bahan yang mahal, bahan yang kasar, halus…manakan dapat rahsianya…

Tagged

BAHAN ORGANIK UNTUK BAJA KOMPOS

Antara soalan yang kerap diajukan kepada saya ialah apakah bahan organik yang boleh dipakai untuk menghasilkan baja kompos / bokashi. Bahan-bahan ini tidak semestinya kesemua jenis perlu ada, kalau ada tahi kambing sahaja, atau rumput kering sahaja, itupun sudah memadai. Saya kupas sedikit jenis-jenis bahan organik yang boleh dipakai untuk penghasilan bokashi.

BAHAN 1 : TINJA HAIWAN

Tinja haiwan merupakan sumber nitrogen dan fosfat yang tinggi. Nitrogen merupakan sumber asid amino yang penting untuk pertumbuhan daun dan klorofil, tanpa nitrogen pengeluaran hasil tanaman akan merudum. Fosfat penting untuk perwarisan baka serta untuk membina enzim tumbuhan. Unsur fosforus memastikan penyerapan cahaya matahari ditukarkan kepada unsur genetik tumbuhan dalam bentuk asid nukleik. Asid nukleik berfungsi dalam membawa genetik tumbuhan dan pembesaran akar (adlin_azamin, bicarajutawan.com).

Tinja haiwan yang paling baik dibuat baja dalam dunia ini adalah tahi kelawar / guano. Ia merupakan sumber fosfat dan nitrogen yang tinggi serta mengandungi mineral. Guano tidak berbau kuat dan banyak didapati dalam gua. Saya telah kupas dengan panjang lebar dalam post yang lepas. Tahi kambing juga mengandungi fosfat yang tinggi dan baik untuk pembungaan pokok. Kambing yang baru beranak akan makan kulit pokok daun telinga kerbau, dia tahu ubatnya. Mungkin kerana pemakanannya terdiri daripada tumbuhan dan herba-herba maka tahi kambing banyak nutrien.

Tahi lembu boleh di dapati dalam kuantiti yang banyak dan lebih murah. Ia juga baik untuk tanaman, tetapi sebaik-baiknya dijadikan kompos dahulu. Tahi lembu mengandungi benih rumput, jika tidak direputkan dahulu, spesis rumput baru boleh tumbuh di atas tanah. Tahi ayam mengandungi nitrogen yang tinggi kerana ia mengandungi urea dan hidrogen sulfida. Sebaik-baiknya tahi ayam direputkan dahulu sebagai kompos untuk menyahtoksikkan urea dan hidrogen sulfida kepada bentuk nitrat dan asid amino yang berfaedah kepada pokok.

Tagged

PENYEDIAAN SEMBURAN PENGAWAL PEROSAK

Resepi ini adalah ihsan Encik Wildan Firdaus bin Badaruddin, Pegawai Pertanian Lenggong, Perak.

BAHAN-BAHAN:

  1. 4 bahagian daun Neem
  2. 1 bahagian daun serai wangi
  3. 1 bahagian bunga selasih
  4. sedikit sahaja, jika ada – akar pinang muda
  5. sedikit sahaja, jika ada – kulit pokok sentang

PENYEDIAAN:

  • Kisar halus bahan-bahan tadi menggunakan blender
  • Semasa dikisar, 1 cawan air ditambah bagi setiap kali proses mengisar
  • Bahan yang terhasil diperam selama seminggu sebelum digunakan
  • Tapis hampas yang terhasil terlebih dahulu (hampas boleh digunakan sebagai bokashi)
  • Larutan ini boleh terus disembur pada tanaman selepas dilarutkan dengan air.
Tagged

PENYEDIAAN BAJA SEMBURAN ORGANIK

Encik Wildan Firdaus bin Badaruddin, Pegawai Pertanian Lenggong telah bermurah hati berkongsi resepi penyediaan baja organik ini dengan saya untuk dikongsi bersama.

BAHAN-BAHAN:

1. 2 bahagian – (30 kg) buah-buahan/sayur-sayuran yang tidak digunakan lagi

2. 2 kg bahagian ikan yang tidak diperlukan lagi

3. 1 bahagian- (15kg) gula merah

4. 2-3 genggam garam

5. 1 sudu kecil guano @ tahi kelawar

LANGKAH PENYEDIAAN:

  • Bungkus bahan (2) dalam kain jarang dan dimasukkan ke dalalm tong
  • Cincang halus bahan (1) dan masukkan ke dalam tong
  • Masukkan bahan (3), (4) dan (5) ke dalam tong
  • Gaul rata dan simpan di tempat redup untuk pemeraman
  • Kacau campuran sekurang-kurangnya 2 hari sekali
  • Tapis hampas campuran selepas 1 ke 1 setengah bulan (hapas boleh dijadikan bokashi)
  • Larutan yang berbaki dan sisa mendakan boleh digunakan terus di ladang
  • Baja boleh disimpan 1 tahun dari tarikh dihasilkan.
  • Goncang sebelum guna untuk meratakan mendakan didalamnya.
  • Larutkan dengan air pada nisbah larutan ekstrak: air pada 1:1000 atau 1:500 sebelum disembur pada tanaman. Selamat mencuba!
Tagged

BAJA FOLIAR EKSTRAK BIOLOGIKAL

Semasa mencari bahan rujukan mengenai baja, saya terjumpa naskah Berita Pertanian (Tahun 2004) keluaran Jabatan Pertanian Negeri Perak bilangan 60 mengenai baja foliar ekstrak. Kebetulan, penulis artikel tersebut Encik Abni Majah bin Tormiz merupakan Pembantu Pejabat Pertanian Lenggong dan kami selalu bersua muka di pejabatnya atau di rumah seorang pengusaha baja organik.

BAHAN-BAHAN:

1 bahagian sayur-sayuran segar (katakan 1kg)

1 bahagan buah-buahan terlalu masak

1 bahagian benih berkelembapan tinggi

1 kg gula merah

1 raga rotan atau tong

LANGKAH PENYEDIAAN:

1. Cincang sayuran, buah-buahan dan benih kepada ketul-ketulan sederhana besar.

2. Campurkan ketiga-tiganya kedalam satu tong atau raga rotan (dalam 3 kg).

3. Campurkan 1 kg gula merah, gaul rata dengan bahan organik tadi.

4. Simpan raga rotan / tong ditempat teduh pada suhu biasa.

5. Campuran ditekan & diperam selama 1-2 malam, hasilnya diambil.

6. Peram lagi untuk 7-15 hari dan jusnya diambil.

PENGGUNAAN:

A. Disembur pada daun setiap 5hari. (10cc = 1 sudu besar larutan ekstrak + 1Liter air)

B. Tambah 100-120cc pada 10liter air dan siram di pangkal pokok. Tutup pangkal pokok dengan baja organik. Kemudian, gunakan rumput kering atau jerami untuk menutup pangkal pokok. Ulangi langkah ini setiap 15 hari.

Larutan hasil inilah yang dipanggil larutan ekstrak biologikal ataupun baja foliar EM. Ia boleh disimpan sehingga 1 tahun. Dalam larutan ini mengandungi asid laktik, mikrob, asid humik serta bahan-bahan organik yang menjadi keperluan asas tumbuhan seperti N, P, K, Bo, Fe, Ca, C.

Jika anda ingin menghasilkan baja yang lebih rumit seperti baja ikan, udang, batuan mineral dan sebagainya bolehlah digunakan. Ikuti arahan atau nisbah yang diberikan untuk menjamin mutu baja ekstrak yang dihasilkan.

Selain selamat dan mudah disediakan, baja foliar buat sendiri dapat mengurangan kos input @ baja sehingga 20%-40%. Amalan ini sudah terbukti melalui petani yang dipilih oleh Pejabat Pertanian Daerah Kecil Lenggong, Hulu Perak. Penggunaan baja foliar ini dilaporkan meningkatkan hasil tembikai (watermelon super dragon) sehingga 1.6tan/0.05 hektar selain memanjangkan hayat tanaman tembikai sehingga 2-3 minggu.

Tagged

PEMBUATAN BAJA KOMPOS MANGKIN BAKTERIA

Bokashi atau baja kompos organik secara komersil, popular di serata dunia sebagai alternatif untuk membuat ‘sampah yang mesra alam’ di rumah-rumah dan apartmen serta djadikan baja untuk tanaman. Dalam bidang pertanian, bokashi adalah teknik penyediaan media tanaman atau baja organik untuk meningkatkan kualiti tanaman dan kesuburan tanah tetapi masih mengealkan kelestarian alam semulajadi..

Sudah beratus-ratus tahun datuk nenek kita mengamalkan pembikinan baja kompos / bokashi dalam pertanian. Hatta negara Iraq dahulu pun suda maju dalam bidang pertanan dan pembikinan komposnya. Tercatit dalam sejarah bahawa sebelum peperangan, Iraq adalah negara pertanian yang berteknologi tinggi dan terdahulu dari Eropah. Iraq sudah lama mengamalakan pertanan organik dan baja kompos ini. Peperangan di Iraq telah banyak membinasakan teknologi, bank baka dan merencat ilmu pertanian mereka.

Cuma lewat era milenium ini pelbagai teknologi pembuatan sintetik muncul dengan penggunaan bahan kimia yang lebih mudah dikendalikan dan dapat meraih hasil yang banyak pada masa yang singkat. Penggunaan bahan kimia tidak dinafikan memberikan impak dan memendekkan tempoh tuai, namun untuk jangkamasa lama akan meninggalkan pengumpulan sisa kimia dalam tanah, akibatnya kualiti tanah menurun dan menjejaskan kualiti hasil tuaian. Lama kelamaan keadaan ini memaksa penggunaan bahan kimia yang lebih pekat, kerap atau pelbagai.

blogger

Salah satu cara yang popular dan selamat untuk menjamin keseragaman dan kualiti media yang digunakan adalah menggunakan sistem fertigasi. Media tanaman fertigasi bermacam ragam dan nisbah campuran, biasanya mengikut jenis tanaman dan keperluannya. Bahan yang biasa digunakan adalah sabut kelapa @ cocoapeat, sekam bakar, pasir, habuk kayu dan arang. Campuran ini memberi keseragaman kualiti kepada tanaman berbanding menanam atas tanah. Begitulah faedahnya teknologi pada manusia. Namun begitu, Allah telah menjadikan tanah dengan multifungsi, penimbal @ buffer yang baik dan kediaman bagi organisma yang membantu aktiviti manusia. Sayang sekali jika kita tidak tahu menggunakan tanah, ia kelihatan mudah tetapi merupakan aspek yang kita terlepas pandang dalam ketamadunan hari ini.

Pengusaha pertanian zaman ini lebih bijak lagi mencari ramuan terbaik membuat media tanaman yang bermutu. Selain menggunakan baja kimia, petani juga mengasimilasikan baja kompos atau baja organik yang jauh lebih murah, selamat dan meningkatkan fungsi biologi tanah dalam operasi. Baja berasaskan kimia tertumpu kepada membekalkan nutrien keperluan tumbuhan untuk menjana hasil yang banyak. Tidak ada apa yang salah dengan kebaikan tersebut, cuma bahan kimia ini tidak banyak menyumbang kepada kemandirian atau memperkaya kualiti media tanaman.

Penggunaan kompos dan baja organik mempunyai dwifungsi yang saling berkait. Pertama menyuburkan tanah dengan meningkatkan kesihatan tanah melalui tindakan mikroorganisma atau cacing. Kedua, mikrob tadi membantu memecahkan kandungan kompleks nutrien dalam tanah kepada bentuk lebih ringkas yang mudah diserap oleh tumbuhan untuk pertumbuhan yang sihat. Kedua-dua perkara ini saling berkait dan simbiosis di antara keduanya meneruskan kelangsungan satu sama lain.

Oleh yang demikian, saya ingin berkongsi serba sedikit ilmu perawatan tanah dan media tanaman. Ilmu ini adalah warisan turun temurun petani-petani seluruh dunia. Ilmu ini amat berguna untuk melestarikan perniagaan dan alam sekitar. Semoga tuan-tuan mendapat manfaat dari memahami cara-cara pembikinan bokashi ini. Sampaikanlah kebaikannya pada sekalian umat, dan kongsilah dengan saya maklumat-maklumat yang lain. Ia menambah baik blog ini dan menguntungkan semua. Terima kasih.

Tagged
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 43 other followers